UMNO Dan Pengukuhan Denah Siasah

UMNO Dan Pengukuhan Denah Siasah


Usia UMNO yang menjangkau 76 tahun pada tahun 2022 ini memberikan latar pandangan bahawa parti utama umat Melayu-Islam ini masih kekal mempunyai wibawa dan sokongan rakyat teramai. 

Dalam apa jua keadaan dan iklim politik; wibawa dan kelibat UMNO tidak mungkin sama sekali dipinggirkan. Retorik kosong untuk cuba menggantikan UMNO dengan wadah politik yang kononnya serba baru - masih jauh dan asing daripada pandangan. 

Tujuh setengah dekad kewujudan UMNO ini sekaligus membayangkan parti ini menjadi sebahagian daripada denah dan rajah siasah negara tercinta. Menidakkan komitmen, perjuangan, kesungguhan dan iltizam pimpinan parti UMNO selama ini ibarat mahu memadam fakta sejarah. Ketika mana negara berhadapan dengan situasi ketidaktentuan dan ketidakstabilan – muncul kalangan pemimpin UMNO yang meredakan dan memulihkan kembali keadaan. 

Langkah pemulihan dan meletakkan kembali negara di landasan kestabilan ini menjadi sebahagian daripada asas kekuatan dan pengalaman UMNO dalam pentadbiran kerajaan. Arungan politik diduga dengan langkah yang hemat dan penuh hati-hati. Strategi yang paling baik adalah mematikan langkah lawan dengan janji persefahaman yang mendahulukan maslahat dan kepentingan rakyat di tempat yang selayaknya. 

Hakikatnya, negara memerlukan kalangan pemimpin yang bijaksana dan hikmah dalam mendepani cabaran. Pemimpin yang mahir menyusun langkah dan cermat mengatur hujah. Kepentingan siasah diatip dan disusun dengan sekemas mungkin bagi meletakkan kembali kepercayaan rakyat bersama kerajaan.

Perhimpunan Agung UMNO Khas

Pertemuan istimewa dan khusus seluruh perwakilan UMNO semalam memperkukuh serta memperkemas lagi denah siasah UMNO. Semangat dan persetujuan kukuh para perwakilan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lalu perlu dimuktamadkan bersesuaian dengan kehendak Perlembagaan parti. 

Siapa sahaja yang hadir di perhimpunan tersebut pasti dapat merasai muafakat politik dalaman UMNO yang cukup luar biasa. 

Inilah juga sebahagian daripada kekuatan dan kebijaksanaan UMNO. Segala keputusan, waima yang telah dipersetujui oleh perwakilan mesti dirasmikan sebagai keputusan dan dasar parti. Tidak ada jalan yang lebih baik selain daripada melakukannya dalam bentuk melakukan sedikit pindaan kepada asas dan fasa tertentu dalam Perlembagaan.

Semangat, momentum kesungguhan PAU sebelum ini tidak akan berganjak. Keputusan bahawa parti mesti diperkukuh menjelang Pilihanraya Umum (PRU) akan datang akan terus dijulang. Keputusan untuk mengadakan PRU akan disepakati di kalangan pimpinan tertinggi UMNO. 

Pengukuhan Denah Siasah 

Bermula daripada saat dan detik ini, UMNO sudah perlu melihat strategi pengukuhan wibawa parti dapat disusun seiring dengan niat kemenangan PRU-15 yang akan datang. UMNO memerlukan pemetaan siasah yang serba baru. Melihat semula ‘tawaran baru’ politik yang memenuhi tuntutan segenap generasi. 

Yang amat molek dan baik, kekuatan UMNO sentiasa sahaja diperkukuh dengan kemampuan pemikiran semua pimpinan sayap dalam parti untuk menyediakan ramuan terbaik kepada rakyat dan pengundi. Pemuda UMNO pastinya akan melihat segala aspek ‘tawaran baru’ yang mampu UMNO perkenalkan kepada pengundi muda. Samalah juga keadaannya dengan Puteri UMNO.

Wanita UMNO, sebagai tulang belakang kekuatan parti juga akan melihat segenap aspek pengukuhan tawaran kepada pengundi Wanita. Sikap UMNO yang anjal dan fleksibel dengan polisi dan dasar baharu yang menarik perhatian pengundi akan dijelmakan semula dengan sebaik mungkin. 

Lebih menarik dan meyakinkan lagi, untuk PRU-15, UMNO tidak terikat dengan mana-mana pakatan politik yang ada. Pemetaan siasah dan wibawa politik UMNO akan dapat berdiri dengan kekuatan UMNO sendiri. Langkah ini pastinya memberikan kita lebih ruang untuk menawarkan sesuatu yang bijaksana dan bahari kepada rakyat.

Mengimbangi Tuntutan Generasi

Strategi kemenangan dalam PRU-15 mesti diasaskan kepada kemampuan kita menawarkan masa hadapan rakyat yang lebih terjamin bersama UMNO dan Barisan Nasional. Gelombang dan arus politik tidak mungkin berulang dalam PRU-15. Hakikat ini diakui oleh kalangan pemimpin parti lawan sendiri. Modal politik mereka semakin menipis. 

Ini waktunya untuk UMNO menyusun gerak dan strategi yang mampan dan utuh. Ini bukan waktunya kita mempunyai perspektif dan pandangan politik yang bilis dan kabur.

Yang tidak kurang pentingnya untuk kita lakukan adalah melihat keperluan dan tuntutan pelbagai generasi dalam spektrum pengundi. Sementara kita mahu memenangi hati pengundi muda/pengundi kali pertama; hemah dan nawaitu kita tidak boleh terasing daripada mereka yang selama ini ‘setia’ menyokong kita. 

Setiap generasi, mempunyai citarasa dan kemahuan politik mereka sendiri. Tawaran baharu politik UMNO mesti mampu mencakupi keinginan semua. Ruang kuasa dan keinginan politik bersifat ragam generasi ini disebutkan dalam kajian “Generational Power Index 2021” yang dilakukan di Amerika Syarikat. 

Setiap generasi – dengan gelar seperti ‘Generasi Senyap’ (Silent Gen; berumur 76 tahun ke atas); Baby Boomers (57 – 75 tahun); Gen X (41 – 56 tahun); Millenials (25 – 40 tahun) dan Gen Z (9 – 24 tahun) mempunyai ‘ruang kuasa’ yang tersendiri. Ruang kuasa dan tuntutan generasi ini lah yang akan membentuk sikap mereka terhadap tanggungjawab politik dan pentadbiran. Demikian juga sikap dan pilihan mereka sewaktu tempoh pilihan raya. 

Tawaran baharu UMNO dan Barisan Nasional yang mempunyai pemberat bersifat ‘rentas generasi’ akan memberikan kelebihan kepada parti untuk jangka masa yang lebih panjang. Kefleksibelan dan keanjalan kita dalam merencana ‘komitmen politik’ kepada keseluruhan spektrum pengundi akan menjadi penentu.

Merencana Kemenangan PRU-15

Selepas ini, UMNO dan Barisan Nasional hanya perlu menumpukan kepada pemetaan politik yang lebih holistik dan menyeluruh. Arus sokongan pengundi, sudah menunjukkan resam mereka untuk bersama dengan ‘kestabilan’ dan ‘kemakmuran’. 

Untuk UMNO, kekuatan dan solidariti politik berada di tahapnya yang terbaik. Komitmen seluruh perwakilan dan kepimpinan UMNO untuk memberikan segenap fokus dan penumpuan kepada PRU-15 mestilah dijelmakan dengan sebaiknya. 

Ulangtahun UMNO ke-76 ini merupakan ‘detik pemula’ kepada kembalinya UMNO dengan kekuatan yang serba baru. UMNO yang bersungguh mengukuh denah siasah Malaysia untuk dekad-dekad yang akan datang. Inilah waktu dan ketikanya untuk UMNO merencana strategi kemenangan PRU yang lebih ampuh dan kemas.  


Gambar Profil Reezal Merican

Dato' Sri Reezal Merican Naina Merican

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan